Sejarah Universiti Islam Selangor

Logo KUIS (1995–2022).

KISDAR mula ditubuhkan pada 15 Februari 1995 dan memulakan operasinya di bangunan sementara di bekas Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jemaah (SAMTAJ), Shah Alam. Ketika penubuhannya, kolej ini menawarkan beberapa program pengajian seperti program Diploma Pengajian Islam dengan Pendidikan dan beberapa pengkhususan lain seperti Dakwah, Usuluddin, Syariah dan Al-Quran dan Al-Sunnah. Kerajaan negeri Selangor memberikan komitmen dan sokongan padu kepada agenda pembangunan pendidikan KISDAR melalui peruntukan sejumlah dana dan sebidang tanah seluas 104 ekar bagi tujuan pembinaan kampus tetap di Bandar Seri Putra, Bangi.

Pada Jun 2000, KISDAR kemudiannya memindahkan seluruh operasinya ke kampus baru di Bandar Seri Putra, dan pada 25 Mei 2002, kampus induk KISDAR telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor.

Pada 22 Oktober 2004, KISDAR secara rasmi telah dipelawa untuk dinaik taraf sebagai sebuah kolej universiti, dan pada 31 Disember 2004, KISDAR secara rasmi dinaik taraf sebagai Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).[4] Ini sekaligus membolehkan KUIS menawarkan program-progran ijazah dwi-pengkhususan.

Selaras dengan tuntutan pasaran pekerjaan semasa dan perkembangan ilmu dalam bidang sains dan teknologi, KUIS menawarkan pelbagai bidang pengajian di peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana, dan Doktor Falsafah yang telah memenuhi perakuan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Kesemua bidang pengajian ini menekankan kepada prinsip dan falsafah kesepaduan ilmu. Ini meliputi disiplin ilmu-ilmu pengajian Islam di samping ilmu-ilmu moden seperti pengajian perniagaan, perbankan Islam, pendidikan, komunikasi, dan teknologi maklumat.

Pada 14 Oktober 2022, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima mengadap Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar bagi mempersembahkan watikah rasmi naik taraf KUIS sebagai Universiti Islam Selangor (UIS) di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.[5]

Rujukan

WikiPedia: Universiti Islam Selangor http://www.kuis.edu.my/ http://www.kuis.edu.my/v2/index.php?option=com_con... http://www.kuis.edu.my/v2/index.php?option=com_con... http://www.kuis.edu.my/v2/index.php?option=com_con... http://www.kuis.edu.my/v2/index.php?option=com_con... http://www.kuis.edu.my/v2/index.php?option=com_con... http://www.kuis.edu.my/v2/index.php?option=com_con... http://www.kuiscell.com/ http://www.kuis.edu.my/rdc/ http://www.kuis.edu.my/v2/index.php?option=com_con...